Orang awam yang membantu pelancong Malaysia selepas dibakar seoarang penganggur lelaki dalam kejadian di Bangkok, Thailand.
PETALING JAYA: Dua pelancong Malaysia yang cedera akibat dibakar seorang lelaki tempatan di Bangkok, Thailand dilaporkan sempat berinteraksi dengan suspek sebelum insiden ngeri itu berlaku.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan memetik saksi kejadian melaporkan, kedua-dua mangsa dilihat berbual dengan lelaki berkenaan sebelum beredar dan duduk di tangga sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri.
Tidak lama kemudian, suspek dikenali sebagai Warakorn kembali menghampiri mangsa, menyiram cecair pencair sebelum menyalakan api menggunakan pemetik api ketika kedua-duanya cuba melarikan diri.
“Orang ramai yang berada di lokasi segera campur tangan dan menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.
Dalam siasatan awal di Balai Polis Lumpini, menurut laporan itu, Warakorn mengaku melakukan serangan itu dan menegaskan tiada sebarang perselisihan faham dengan mangsa.
Suspek mendakwa tindakannya berpunca daripada tekanan hidup selepas menganggur dan kelaparan.
Bekas peninju itu pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan namun diberhentikan kerja baru-baru ini, sekali gus menyukarkannya mendapatkan pekerjaan baharu, katanya.
“Warakorn memberitahu polis dia tidak makan pada hari kejadian, menyebabkan tekanan semakin memuncak dan mendorongnya bertindak demikian.
“Ujian saringan awal terhadap dadah mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh bahan terlarang.
“Pihak polis kini bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand bagi membantu siasatan serta membincangkan langkah sokongan,” katanya.
Kedua-dua mangsa warga Malaysia kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Pihak berkuasa dijangka mengambil keterangan tambahan daripada mereka dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.
































