Tengku Zafrul Abdul Aziz
PETALING JAYA: Persetujuan yang dicapai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu tarif timbal balik merupakan satu langkah bertanggungjawab bagi menguruskan krisis ekonomi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rundingan itu dilakukan bagi mengelak pengenaan tarif 25 peratus oleh AS yang berpotensi mengancam nilai eksport negara melebihi RM198 bilion serta menjejaskan 10,000 peluang pekerjaan khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Ini bukan pasal happy (gembira) Tun, tetapi tanggungjawab untuk menyelamatkan periuk nasi dan mata pencarian rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi.
Menurutnya, hasil rundingan itu membolehkan Malaysia menikmati kadar tarif sama seperti negara ASEAN lain iaitu 19 peratus, sekali gus memastikan kepentingan dan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataan di Facebook mendakwa kerajaan seolah-olah ‘gembira’ dengan persetujuan tersebut yang menurutnya memberi kelebihan besar kepada Washington namun merugikan kepentingan nasional.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menafikan dakwaan Dr. Mahathir bahawa Malaysia telah menghapuskan semua cukai terhadap 11,000 produk AS yang dieksport ke negara ini.
Hakikatnya jelasnya, hanya 60.4 peratus baris tarif dikenakan duti sifar dan langkah itu diambil bagi mengelakkan kesan limpahan negatif terhadap ekonomi serta pasaran kewangan dan modal negara.
“100 peratus dengan 60 peratus itu jauh bezanya. 60 peratus itu sedikit lebih daripada separuh, langsung tidak sama dengan semua. Jadi tuduhan Tun jelas adalah palsu,” tegasnya.
Menurut Zafrul, dakwaan kononnya Malaysia bersetuju membekalkan nadir bumi kepada AS sebagai sebahagian syarat pengurangan tarif adalah tidak benar.
Menurutnya, tiada sebarang perjanjian, sama ada secara lisan atau bertulis, untuk membekalkan nadir bumi kepada AS atau mana-mana negara lain, sama ada secara eksklusif atau sebaliknya.
Malah, mulai 1 Januari 2024, kerajaan telah menguatkuasakan larangan eksport bahan mentah nadir bumi selaras keputusan Jemaah Menteri yang tertakluk kepada pemantauan ketat serta semakan setiap enam bulan.
“Dasar sedia ada jelas mewajibkan nadir bumi diproses dalam negara sebelum dieksport. Tiada mana-mana kenyataan yang menyebut kita akan bekalkan nadir bumi mentah yang tidak diproses.
“Tidak salah mengkritik, tetapi jika kritikan itu berlandaskan tuduhan palsu, itu salah,” katanya.


































