Hanif Yusabra Tysuf memeriksa kereta mewah yang disita oleh JPJ Negeri Sembilan selepas dikesan tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans.
SEREMBAN: Seramai 10 pemilik kenderaan mewah hingga bernilai jutaan ringgit di negeri ini dikesan culas memperbaharui cukai jalan dan insurans sehingga dikenakan tindakan sitaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.
Menurut Utusan Malaysia, jumlah itu direkodkan sejak Januari hingga awal bulan Ogos tahun ini dengan terbaharu melibatkan kereta mewah jenama Porsche Taycan milik ahli perniagaan wanita berusia 36 tahun yang ditahan dalam operasi di sini semalam.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kenderaan mewah lain yang disita atas kesalahan sama termasuk Mini Cooper Countryman, Tesla dan Toyota Alphard.
“Antara alasan yang diberikan pemilik kenderaan mewah berkenaan adalah ‘lupa’ yang mana ingin ditegaskan bahawa alasan sebegini tidak boleh diterima, malah siasatan mendapati mereka memandu atas jalan raya tanpa cukai jalan dan insurans dalam tempoh satu ke dua tahun.
“JPJ memandang serius perbuatan ini kerana boleh menimbulkan risiko besar kepada keselamatan awam, terutamanya jika kenderaan tersebut tidak mempunyai perlindungan insurans,” katanya kepada pemberita di sini.
Jelas Hanif Yusabra, tanpa insurans sebarang kemalangan tidak dilindungi, malah boleh menjerumuskan pihak-pihak lain yang terlibat ke dalam masalah yang besar daripada sudut pampasan dan tanggungan kos kemalangan.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini bukan sahaja akan berdepan dengan tindakan sitaan, malah pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan rekod penguatkuasaan JPJ Negeri Sembilan bagi tempoh Januari sehingga Julai 2025, sebanyak 10,435 kesalahan dikesan melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan 7,891 kes tiada perlindungan insurans yang telah dikenakan tindakan sitaan.


































