Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Jasin semalam atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada 27 Julai lalu.
JASIN: Tiga lelaki masing-masing seorang pekerja pasar raya, mekanik dan pemandu lori berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, M. Yogeswaran, 25; Mohd. Azmi Mohd. Nor, 34, dan K. Krishnamorthy, 66, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencapai niat bersama, melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 52, di tempat letak kereta di Bandar Jasin Bestari di sini antara pukul 7.37 malam dan 8.59 malam pada 27 Julai lalu.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh, Datuk K. Shashi Kumar dan A. Mathan.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 September depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, perbuatan seorang lelaki menunjukkan kemaluannya di khalayak ramai mengundang padah apabila dia maut selepas dipukul secara beramai-ramai dalam kejadian di Bandar Jasin Bestari, di sini, minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, lelaki tempatan berusia 52 tahun dan sudah berkahwin itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah termasuk di bahagian kepala.


































