WASHINGTON: Kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi sekadar fiksyen sains seperti dalam siri Black Mirror, sebaliknya semakin menjadi ancaman nyata terhadap kelangsungan pekerjaan manusia, demikian amaran pakar penyelidik dari Microsoft.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu kajian terbaharu, pasukan penyelidik diketuai Dr Kiran Tomlinson mengenal pasti 40 jenis pekerjaan yang paling terdedah kepada penggantian oleh teknologi AI serta 40 pekerjaan lain yang dijangka kekal memerlukan sentuhan manusia.
Antara yang paling berisiko tinggi ialah jurubahasa, penterjemah, sejarahwan, penulis, ahli sains politik, dan wartawan, semuanya kerjaya yang melibatkan kemahiran membaca dan menulis.
Namun ancaman AI tidak terhenti di situ dengan kajian tersebut menunjukkan pekerjaan yang memerlukan komunikasi pelanggan dan bantuan maklumat seperti pramugari, wakil jualan dan pegawai khidmat pelanggan juga bakal berdepan tekanan hebat akibat teknologi ini.
Melalui analisis terhadap lebih 200,000 log perbualan tidak dikenali antara pengguna dan perisian AI Bing Copilot, para penyelidik menentukan corak penggunaan AI oleh orang ramai dengan Dr
Tomlinson dan rakan-rakannya mengenal pasti ianya digunakan secara meluas dalam tugas seperti memberikan maklumat, penulisan, pengajaran dan khidmat nasihat.
Berdasarkan perbandingan antara tugas-tugas ini dengan kerjaya-kerjaya tertentu, mereka memperkenalkan satu metrik baharu yang dinamakan ‘skor kebolehgunaan AI’ meskipun ia bukanlah ukuran langsung terhadap kebarangkalian sesuatu pekerjaan digantikan sepenuhnya, namun skor ini menunjukkan sejauh mana AI mampu membantu tugas dalam profesion tersebut.
Menurut laporan pracetak itu, pekerjaan yang mencatat skor kebolehgunaan AI tertinggi juga merupakan yang paling berisiko mengalami pengurangan tenaga kerja.
“Contohnya, jika AI menjadikan pembangun perisian 50 peratus lebih produktif, syarikat mungkin akan menggaji lebih ramai pembangun atau menggaji lebih sedikit kerana produktiviti setiap pekerja sudah meningkat,” kata penyelidik.
Antara pekerjaan yang disenaraikan berisiko tinggi ialah hos radio dan model, yang sebelum ini dianggap sukar digantikan namun pada 2023, jenama fesyen Mango dari Sepanyol dikecam kerana menggunakan model AI sepenuhnya dalam kempen untuk remaja.
Pekerjaan yang melibatkan kemahiran teknikal tinggi dan aspek fizikal seperti jurutera kapal, pengendali mesin cerucuk, tukang simen dan penyandar lantai dikategorikan sebagai paling selamat daripada ancaman AI.
“Kami dapati AI banyak membantu tugas berkaitan penyelidikan, penulisan dan komunikasi namun ia tidak dapat melaksanakan sepenuhnya satu-satu pekerjaan manusia.” ujar Dr Tomlinson.


































