Tengku Zafrul Abdul Aziz
PETALING JAYA: Kerajaan berharap tiada pihak memberikan gambaran tidak tepat atau memutarbelitkan fakta berhubung pematuhan piawaian halal negara dalam rundingan perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, para pengeksport AS masih perlu mematuhi setiap syarat dan piawaian halal Malaysia yang sedia ada, namun proses kini dilaksanakan dengan lebih pantas dan efisien.
Katanya, persetujuan yang dicapai bersama AS bertujuan memudahkan proses pengimportan daging halal dari negara itu ke Malaysia yang akan dikendalikan oleh badan pengesahan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Saya ingin tegaskan, pematuhan syariah ini adalah prasyarat ke atas import daging halal dari semua negara termasuk AS. Kerajaan tidak akan berganjak dari pendirian kita berhubung perkara ini.
“Dalam hal ini, Malaysia untung, AS untung dan yang paling penting, standard halal kita kekal utuh. Kita buktikan prinsip boleh seiring dengan kemajuan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.
Tengku Zafrul berkata, kejayaan menurunkan tarif eksport daripada 25 peratus kepada 19 peratus merupakan hasil rundingan bersejarah antara Malaysia dan AS yang membuka peluang ekonomi lebih luas.
Katanya, pencapaian itu turut membuktikan bahawa matlamat ekonomi masih boleh dicapai tanpa menggadaikan prinsip yang dipegang teguh selama ini.
“Kita berjaya turunkan tarif eksport. Tetapi, persoalannya, apakah harga yang perlu dibayar? Adakah kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang kita pegang teguh selama ini? Adakah red line kita iaitu standard halal Malaysia telah disentuh? Jawapannya, Alhamdulillah tidak,” katanya.































