GEORGE TOWN: Dua pegawai Imigresen ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, penahanan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah membabitkan kemasukan warga asing ke negara ini.
Difahamkan, modus operandi yang digunakan dalam kegiatan itu dikenali sebagai ‘counter setting’, iaitu satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang membenarkan warga asing masuk ke negara ini tanpa melalui proses tapisan serta pemeriksaan Imigresen yang sah.
Terdahulu, jurucakap SPRM berkata, susulan maklumat risikan yang diterima mengenai kegiatan mencurigakan di lapangan terbang itu, satu operasi khas telah dilancarkan.
“Penahanan (kedua-dua suspek) dilakukan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694). Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jaringan serta modus operandi sepenuhnya,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sebarang bentuk rasuah serta penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam sektor penguatkuasaan.
“Dalam hal ini, orang ramai turut digesa agar tampil untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti rasuah sama ada membabitkan sektor awam mahupun swasta,” katanya.































