Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Lesen klinik kesihatan swasta boleh dibatalkan jika didapati melanggar ketetapan Jadual Fi seperti diperuntukkan bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan boleh diambil termasuk kompaun jika didapati bersalah melanggar subseksyen 106(4) akta tersebut.
“Antara tindakan yang boleh diambil ialah surat amaran dan teguran, kompaun kesalahan dengan denda maksimum RM5,000 bagi tuan punya tunggal dan RM15,000 bagi pertubuhan.
“KKM juga boleh mengeluarkan notis tunjuk sebab untuk membatalkan lesen dalam kes tertentu,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) berhubung saluran aduan rasmi dan kuasa KKM terhadap caj perubatan swasta yang melampau serta kualiti perkhidmatan tidak memuaskan di klinik dan hospital swasta.
Dzulkefly berkata, pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan terhadap Akta 586 dilaksanakan melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan.
Menurut beliau, sebarang aduan berkaitan caj rawatan tidak munasabah dan kualiti perkhidmatan boleh disalurkan ke CKAPS melalui laman sesawang: myckaps.spab.gov.my, menghantar surat rasmi ke Ibu Pejabat CKAPS, Putrajaya atau hadir sendiri ke pejabat CKAPS negeri atau wilayah.
“Bagaimanapun, Jadual Fi di bawah Akta 586 hanya melibatkan caj konsultasi dan tatacara perubatan, manakala caj lain seperti harga ubat, alat perubatan dan bayaran wad tidak tertakluk di bawah kawal selia akta tersebut,” ujarnya.































