Fahmi Fadzil – Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia platform digital hasil permintaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kandungan terbabit dikenal pasti melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform seperti YouTube dan TikTok.
“Sebagai badan kawal selia, MCMC mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan kandungan berbahaya seperti konten anomali, toksik dan yang boleh merosakkan kognitif seperti ‘brain rot’ dapat dikawal khususnya yang menyasarkan pengguna muda,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) yang mencadangkan kerajaan mewujudkan dasar kebangsaan khusus bagi melindungi kesejahteraan kanak-kanak dalam talian.
Fahmi berkata, sesi libat urus secara berterusan turut diadakan bersama penyedia platform bagi memastikan sistem algoritma mereka ditapis dengan lebih telus dan selaras dengan peraturan tempatan.
“Ini termasuk langkah mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang berunsur negatif atau memudaratkan, khususnya melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya.































