PETALING JAYA: Polis menyiasat kejadian penunggang motosikal dipercayai cedera selepas terkena tali layang-layang yang merentang di tengah jalan di Jalan Lingkaran Tengah 2, Kepong di sini sehingga tular di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya terkesan satu rakaman video tular di media sosial berkaitan seorang penunggang motosikal terkena tali layang-layang itu kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 6 petang ketika mangsa berusia 27 tahun sedang menunggang motosikal di lorong tengah jalan terbabit.
“Mangsa kemudian tanpa disedari terlanggar tali layang-layang yang tersangkut di badan seterusnya ke leher sebelum tali itu terputus.
“Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan dan mengalami kecederaan lecur di leher dan mendapatkan rawatan di Poliklinik Zain Azrai, dekat Selayang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, penunggang motosikal juga tidak terjatuh semasa kejadian.
Tambahnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987.































