Program eHati dianjurkan pada September tahun lalu di IDCC, Shah Alam, Selangor.
SHAH ALAM: Penganjur program motivasi rumah tangga, eHati didakwa tidak pernah menunjukkan keseluruhan modul dan aktiviti termasuk Queen’s Night yang dijalankan pada September tahun lalu bagi mendapatkan kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penjelasan yang diberikan oleh penganjur menerusi Panel Sesi Penjelasan yang dilantiknya pada 15 November 2022 adalah merujuk kepada video mengandungi kaedah self-pleasure bagi wanita merapatkan hubungan antara suami isteri.
“Hal ini kerana syarikat tersebut tidak pernah merujuk keseluruhan modul program berkaitan (termasuk Queen’s Night) kepada pihak JAIS selepas teguran dan syor dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, Panel Sesi Penjelasan ketika itu meminta penganjur menyatakan penafian (disclaimer) terhadap penggunaan video berkenaan dalam program anjuran mereka.
Namun, Mohd. Shahzihan, memaklumkan ia bukan suatu kebenaran oleh JAIS yang diberikan bagi penganjuran program motivasi rumah tangga itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ideal (IDCC), di sini pada September tahun lalu.
Beliau berkata, Panel Sesi Penjelasan memberi pandangan beberapa aspek dan pendekatan program eHati perlulah dipinda atau dibuang mengikut mana-mana yang bercanggah dengan hukum syarak.
“Pihak syarikat juga hendaklah sentiasa merujuk pihak berautoriti agama atau pakar dalam memastikan pematuhan hukum syarak dalam keseluruhan program eHati.
“JAIS menafikan bahawa Disclaimer yang disarankan oleh Panel Sesi Penjelasan itu membuktikan bahawa keseluruhan modul atau aktiviti program eHati yang dibuat di IDCC Shah Alam itu telah dibenarkan oleh JAIS.
“JAIS yakin sekiranya syarikat tersebut mematuhi ketetapan yang dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan pada tahun 2022, sudah pasti insiden yang didakwa berlaku dalam program eHati di IDCC Shah Alam tidak akan terjadi,” tegasnya.
Beliau menambah, pandangan yang diberikan oleh Panel Sesi Penjelasan menyatakan program eHati boleh diteruskan tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak hendaklah dibuang.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri tersebut serta anak perempuannya dan tiga lagi individu terbabit direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret pada bagi membantu siasatan berhubung penganjuran acara berunsur lucah.
Bagaimanapun, kesemua individu itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan lanjutan reman terhadap mereka tidak dibenarkan oleh mahkamah.
Mohd. Shahzihan kemudian berkata, Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan JAIS menyemak dan menambah baik Garis Panduan Penyediaan Program Keagamaan dan Kerohanian Islam dengan mengambil kira insiden eHati.
“Penambahbaikan garis panduan itu dibuat agar lebih komprehensif dan dapat dijadikan rujukan oleh penganjur yang berhasrat untuk mengadakan program mengandungi unsur kerohanian dan keagamaan di Selangor.
“JAIS menyeru agar masyarakat Islam di Selangor terus memainkan peranan aktif dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang program atau pengisian keagamaan yang meragukan kepada pihak JAIS,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan wujud aktiviti berbogel dalam acara dipanggil sebagai Queen’s Night menerusi program motivasi rumah tangga eHati yang dianjur selama empat hari tiga malam di IDCC.
































