BEIJING: Kementerian Pendidikan China mengeluarkan amaran keselamatan kepada pelajar-pelajar China yang berada di Filipina susulan beberapa insiden jenayah yang didakwa menyasarkan mereka.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada Jumaat, kementerian itu tidak memperincikan insiden yang dimaksudkan namun menasihatkan para pelajar supaya lebih berwaspada sekiranya memilih untuk melanjutkan pengajian di negara tersebut.
South China Morning Post melaporkan, bilangan pelajar China di Filipina dilaporkan semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan anggaran hanya beberapa ratus orang yang masih mendaftar.
Hubungan dua hala antara China dan Filipina kini berada dalam keadaan tegang berikutan pertikaian berpanjangan mengenai tuntutan di Laut China Selatan di mana Beijing mendakwa hampir keseluruhan perairan itu sebagai miliknya dan menggunakan meriam air serta pelbagai taktik lain untuk menghalau bot nelayan Filipina dari kawasan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Komunikasi Presiden Filipina, Claire Castro, berkata China berhak mengeluarkan nasihat keselamatan itu, namun menegaskan kadar jenayah di negara tersebut semakin menurun.
“Dari sudut kami, tahap keselamatan dan ketenteraman di Filipina sebenarnya bertambah baik,” katanya dalam sidang media.
Castro turut memaklumkan pihak polis bertindak pantas terhadap sebarang aduan berkaitan jenayah dan insiden yang berpunca daripada perjudian dalam talian yang melibatkan warga China semakin berkurangan atau telah dibanteras malah, ramai suspek dari negara tersebut yang terlibat telah dihantar pulang.
Antara insiden yang pernah menggemparkan ialah kes penculikan seorang pelajar China berusia 14 tahun di Manila pada Februari lalu oleh satu sindiket yang turut diketuai warga China.
Dalam kejadian itu, pemandu pelajar berkenaan dibunuh manakala jari pelajar tersebut dipotong sebagai ugutan untuk mendapatkan wang tebusan daripada keluarganya.
Menurut Setiausaha Dalam Negeri Filipina, keluarga mangsa dan ketua penculik terbabit dipercayai pernah menjalankan operasi perjudian dalam talian yang mengaut keuntungan besar sebelum ini.
































