JOHOR BAHRU: Satu sindiket yang menyasarkan lelaki ‘hidung belang’ untuk diperas ugut tumpas apabila sembilan ahli serta dalangnya ditahan dalam Op Bogel yang dijalankan di Johor Bahru dan Kulai, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, suspek terdiri daripada tujuh lelaki serta dua wanita berusia antara 17 hingga 50 tahun.
Menurutnya, sindiket yang turut beroperasi di luar negara itu dipercayai telah menjalankan kegiatan peras ugut seksual berkenaan sejak November tahun lalu.
“Modus operandi sindiket ini adalah mewujudkan akaun seorang wanita cantik palsu sebelum melayan mangsa lelaki dan meminta gambar atau video lucah mangsa.
“Sindiket turut memberikan satu pautan kepada mangsa dan apabila ditekan sindiket akan mempunyai akses ke galeri gambar dan senarai buku telefon mangsa.
“Sindiket kemudian akan mengugut mangsa membayar wang antara RM500 hingga RM5,000 sekiranya tidak mahu gambar dan video bogel mangsa disebarkan kepada umum,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Selain sembilan suspek, pihaknya turut menyelamatkan tiga mangsa terdiri daripada dua remaja, masing-masing seorang wanita dan remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun, serta seorang lelaki berusia 26 tahun.
“Dua remaja berkenaan dipukul dan dibogelkan sebelum diugut sindiket untuk menjadi pekerja mereka manakala lelaki 26 tahun merupakan salah seorang mangsa peras ugut seksual sindiket berkenaan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan, antaranya 27 telefon bimbit, dokumen peribadi, wang tunai beberapa negara, 49 simkad, kenderaan serta komputer riba,” katanya sambil memaklumkan kesemua suspek kini ditahan reman hingga esok.

































