Dr. Joachim (duduk,tengah) bergambar bersama dengan para pengamal adat yang hadir dalam majlis itu.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam telah merasmikan pelancaran Buku Adat Mukim Kundasang/Pinausok dalam satu majlis yang dihadiri seramai 150 orang pengamal adat yang berlangsung di Puncak Café, kelmarin.
Dalam ucapannya, Dr Joachim mengucapkan tahniah kepada semua Ketua Adat yang berjaya membukukan amalan dan adat tradisi masyarakat di kawasan Kundasang, menjadikannya rujukan penting bagi generasi kini dan akan datang.
“Di DUN Kundasang, kebanyakan mukim kini sudah mempunyai buku adat masing-masing. Ini satu pencapaian besar dalam usaha memelihara dan mendokumentasikan khazanah budaya kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua-ketua Kampung yang terlibat secara langsung dalam usaha mendokumentasikan adat-adat yang diguna pakai di kampung masing-masing.
Menurutnya, buku adat ini bukan sahaja menjadi rujukan penting, malah panduan kepada semua kampung dalam urusan adat, termasuk dalam pemberian sogit dan proses mediasi agar tidak timbul kekeliruan pada masa akan datang.
Mengenai Mahkamah Anak Negeri (MAN), beliau memaklumkan bahawa terdapat cadangan untuk memansuhkan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dan menggantikannya dengan enakmen baharu.
Walau bagaimanapun, pembentangan di Dewan Undangan Negeri belum dapat dilakukan tahun ini kerana terdapat beberapa perkara yang masih perlu diteliti oleh pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa semua jawatan berkaitan adat – daripada Ketua Daerah hingga Ketua Kampung – akan dikekalkan sekiranya Kerajaan Negeri sedia ada terus diberi mandat oleh rakyat. Namun, sekiranya berlaku perubahan kerajaan, tidak mustahil semua jawatan tersebut akan dirombak atau ditamatkan.
“Bagi saya, kita akur dengan keputusan rakyat. Cuma saya ingin tegaskan bahawa Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah yang terbaik setakat ini,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua -ketua Daerah, OKK Dominic Ghanie dan OKK Muhasip Haji Ruman; Ketua-ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri DUN Paginatan dan DUN Karanaan, Ketua-ketua Kampung; kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang; Pengerusi JKKK dan Setiausaha Mukim Kundasang; ahli Persatuan Gerai; ahli Persatuan Pengusaha Sayur Tanah Tinggi Kundasang dan beberapa Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (Ngo), Kundasang.
































