REMBAU: Seorang guru lelaki ditangkap polis semalam susulan dipercayai terbabit dalam kes cabul seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) di sini pada 5 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain berkata, guru berusia 36 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau kira-kira pukul 10 malam bagi membantu siasatan.
Menurutnya, tangkapan tersebut susulan laporan polis yang dibuat sendiri oleh mangsa berusia 16 tahun pada pukul 5.15 petang semalam.
“Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi di sebuah bilik rawatan sekolah itu selepas mangsa mengalami sakit kaki sejurus tamat aktiviti merentas desa.
“Suspek didakwa memaksa mangsa duduk dan mengurut kaki, betis serta paha sebelum menyentuh bahagian sensitif mangsa. Mangsa bagaimanapun menolak, namun diugut oleh guru berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian memberitahu seorang rakan sekelas mengenai kejadian itu sebelum membuat aduan kepada guru pendidikan khas pada 30 Jun lalu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek menafikan terlibat dalam kes tersebut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Malah, suspek juga mempunyai rekod tangkapan di bawah yang sama sebelum ini,” katanya.
Difahamkan, mangsa merupakan anak kedua daripada lima beradik kini tinggal di rumah perlindungan kanak-kanak sejak tahun lalu selepas menjadi mangsa seksual oleh individu dikenali.


































