Anggota penguatkuasa MBPP menunda kenderaan yang didapati menghalang lalu lintas dalam satu operasi penguatkuasaan di George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha bengkel dan pemilik kenderaan yang mementingkan diri sendiri mengundang padah apabila mereka dikenakan tindakan dalam operasi penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, dalam operasi yang melibatkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBPP itu, sebanyak 30 kenderaan telah diberikan notis kompaun manakala empat lagi ditunda atas pelbagai kesalahan melibatkan halangan lalu lintas.
Jurucakap MBPP berkata, operasi tersebut pada dasarnya menyasarkan dua bengkel membaiki kenderaan yang didapati meletakkan deretan kenderaan milik pelanggan di bahu jalan sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Tindakan dikenakan mengikut beberapa peruntukan undang-undang antaranya Kaedah 44, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 melibatkan meletakkan atau menggunakan kenderaan di siar kaki.
“Selain itu, tindakan turut diambil mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat lalu lintas termasuk meletakkan kenderaan di garisan kuning, dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan melibatkan kedudukan kenderaan yang boleh menyebabkan bahaya, galangan atau kesusahan kepada lalu lintas,” katanya.
Tambah beliau, selain pemilik bengkel, pemilik kenderaan persendirian yang mengambil kesempatan meletakkan kenderaan mereka di sepanjang jalan utama berhampiran bengkel tersebut turut dikenakan tindakan.






























