S. Prasanth (kiri) yang berdepan pertuduhan merogol dan meliwat seorang wanita warga Australia dibawa ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, di George Town, kelmarin.
GEORGE TOWN: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas dua pertuduhan iaitu merogol dan meliwat seorang wanita warga Australia dalam sebuah kereta di kawasan perkuburan Cina di sini, bulan lepas.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, S. Prasanth, 25, membuat pengakuan itu selepas juruhahasa membacakan kedua-dua pertuduhan itu secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Bagaimanapun, mahkamah tidak dapat memutuskan hukuman terhadap tertuduh hari ini kerana tertuduh memohon untuk melantik peguam.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati merogol seorang wanita warga Australia dalam sebuah kereta Perodua Axia dan meletakkan mangsa berada dalam keadaan ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah gunting besi kepada mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 28 Jun lalu antara pukul 5.20 pagi hingga 6 pagi, di kawasan perkuburan Cina Hong Seng Estate Mount Erskine dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara tempoh 10 hingga 30 tahun selain dikenakan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh di lokasi dan masa yang sama didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu memasukkan zakar ke dalam dubur wanita warga Australia itu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara tempoh lima hingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, ketika prosiding, Mohd Nordin memohon mahkamah agar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukannya adalah berat dan serius iaitu merogol dan meliwat mangsa.
“Mangsa merupakan seorang pelancong dari Australia yang datang melawat Malaysia. Hubungan Malaysia dan Australia adalah baik dan sensitiviti ini perlu diambil kira. Kita tidak mahu memberi satu gambaran yang tidak baik di mana kesalahan jenayah bebas dilakukan,” katanya.
Tambah Mohd. Nordin, sekiranya jaminan diberikan, beliau memohon agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai setiap bulan, tidak dibenarkan menggangu mangsa dan pasport tertuduh juga perlu diserah kepada mahkamah.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah memberikan jaminan terhadapnya memandangkan dia tidak bekerja secara tetap dan ibu bapanya juga telah tua.
Hakim bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diberikan jaminan dan menetapkan 31 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan lantikan peguam dan serahan dokumen.






























