KOTA KINABALU: Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Mazlan Joehari Manan kelmarin telah membuat satu laporan polis terhadap Albert Tei yang didakwa menyebarkan tuduhan palsu, berunsur fitnah jenayah dan hasutan terhadap Ketua Menteri serta beberapa agensi kerajaan.
Dalam laporan tersebut, Albert semasa sidang media diadakan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Isnin telah secara terbuka mendakwa Ketua Menteri Sabah terlibat dalam campur tangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menjadi dalang dalam satu rancangan untuk menculik serta membunuh dirinya.
“Albert memberi amaran secara terbuka bahawa sekiranya berlaku sesuatu terhadap dirinya seperti penculikan, pembunuhan atau kehilangan, maka Ketua Menteri Sabah kononnya perlu dipertanggungjawabkan. Ini adalah satu tuduhan jenayah yang sangat berat dan tidak berasas,” kata Mazlan.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai jahat, palsu dan menghina Ketua Menteri Sabah serta agensi seperti SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), malah turut memberi gambaran seolah-olah wujud pendakwaan yang bersifat selektif.
“Tindakan Albert yang membuat kenyataan di media walaupun kes beliau bersama dua ADUN lain sedang dibicarakan di Mahkamah adalah cubaan membentuk persepsi negatif terhadap Ketua Menteri dan institusi penguat kuasa. Ini bukan sahaja mencemarkan reputasi mereka, malah menghina proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya lagi.
Mazlan turut menyatakan bahawa tindakan tersebut boleh dianggap sebagai menghina Mahkamah (subjudice) kerana cuba mewujudkan ‘trial by media’, selain berpotensi menyalahi undang-undang di bawah beberapa peruntukan.
“Saya percaya Albert telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah terhadap Ketua Menteri Sabah; Seksyen 4 Akta Hasutan kerana hasutan terhadap Kerajaan Negeri dan Persekutuan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penyalahgunaan sistem telekomunikasi; serta penghinaan terhadap proses dan sistem kehakiman,” tegas Mazlan.
Beliau berkata, laporan itu dibuat agar tindakan undang-undang yang sewajarnya dapat diambil bagi mengekang penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keyakinan terhadap institusi kerajaan dan keadilan.































