KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang khusus bagi mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI), sebagai langkah menangani risiko yang timbul seiring kemajuan teknologi itu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementerian sedang menyediakan satu laporan komprehensif yang bakal dibentangkan kepada jemaah menteri, bagi menentukan pendekatan terbaik dalam menangani isu berkaitan AI.
Menurut beliau, kerajaan mempertimbangkan pelbagai pilihan termasuk penggubalan undang-undang, pelaksanaan peraturan bersasar serta penggunaan piawaian industri, berdasarkan tahap risiko penggunaan AI dalam pelbagai sektor.
“Ada beberapa pandangan yang dibawa ke depan sama ada kita perlu melihat kepada undang-undang untuk memastikan risiko-risiko dalam aspek kecerdasan buatan dapat ditangani.
“AI ini merentasi semua bidang. Ada bidang yang memerlukan peruntukan undang-undang kerana melibatkan risiko tinggi, manakala aspek lain mungkin memadai dengan peraturan atau piawaian sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluncurkan Majlis Kita Bagi Jadi Komuniti Cimb di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, penilaian terhadap bentuk kawal selia yang sesuai sedang dijalankan oleh National Ai Office (NAIO) yang kini dalam fasa akhir menyiapkan laporan teknikal untuk dikemukakan kepada pejabatnya.
“Kita perlu melihat dan mengkaji secara luas aspek-aspek mana yang perlu dikawal serta jenis kawalan yang diperlukan sama ada dari sudut piawaian, peraturan atau perundangan.
“Selepas laporan itu dimuktamadkan oleh NAIO, ia akan dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan dasar dan penetapan langkah selanjutnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Gobind turut memaklumkan bahawa Malaysia mengambil pendekatan terbuka dengan merujuk amalan terbaik dari negara lain bagi memastikan kawal selia AI yang bakal diperkenalkan adalah seimbang, inklusif dan tidak menyekat inovasi.
“Kita mahu Malaysia terus maju dalam pembangunan AI, tetapi dalam masa yang sama memastikan rakyat dilindungi daripada risiko. Pendekatan kita mesti dinamik dan berfasa, bukan satu penyelesaian untuk semua,” katanya.
































