Madin Anak
TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Jahid Jahim susulan dakwaan tidak berasas yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Madin Anak berkata, tuduhan berunsur fitnah terhadap Jahid merupakan satu cubaan terancang untuk menjejaskan imej pemimpin PBS menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Kami berdiri teguh bersama Datuk Seri Jahid Jahim dan yakin sepenuhnya terhadap integriti serta penjelasan beliau. Tuduhan tersebut jelas bermotifkan politik dan bertujuan merosakkan reputasi beliau serta melemahkan kekuatan PBS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Madin, PBS Tamparuli menyokong penuh hasrat Jahid untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu tersebut, termasuk Malaysiakini yang menyiarkan laporan berkenaan.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak media untuk menyampaikan maklumat yang sahih, bukannya bersubahat menyebarkan fitnah yang boleh menghakis kepercayaan rakyat serta menjejaskan kestabilan politik negeri,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat berhak menerima maklumat yang adil dan telus, lebih-lebih lagi ketika Sabah menghampiri musim pilihan raya.
“Cubaan mencemarkan imej pemimpin PBS bukan perkara baharu. Namun, usaha-usaha ini tidak akan mematahkan semangat kami. Malah, ia hanya mengukuhkan tekad kami untuk terus memperjuangkan aspirasi rakyat Sabah bersama PBS,” katanya.
Katanya lagi, sejak penubuhan PBS, pelbagai usaha dilakukan pihak tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan parti, tetapi ia gagal kerana perpaduan dan kesetiaan ahli-ahlinya.
“Kami tetap bersatu dan komited untuk mempertahankan perjuangan parti ini demi masa depan negeri dan generasi akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong PBS supaya kekal tenang dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda atau berita yang tidak sahih.
“PBS tetap utuh. Kepimpinan tetap disanjung. Perjuangan tetap diteruskan. Kita terus mara dengan semangat Sabar, Setia dan Bersatu,” katanya.
Portal Malaysiakini sebelum ini menyiarkan laporan bertajuk “Lagi Kejutan Sabah: Skandal pelombongan selubungi STAR, pemimpin tertinggi PBS” yang mendakwa Jahid menerima sogokan RM150,000 – satu tuduhan yang telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh beliau.


































