KUALA LUMPUR: Kegiatan tiga warga asing menjual senjata api tiruan yang kelihatan seperti pistol semiautomatik jenis Walther P99 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbongkar selepas mereka ditahan hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, penahanan suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 35 hingga 45 tahun itu membawa kepada penemuan stor simpanan di Taman Megah, Kepong.
Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin@Hilmi berkata, pelbagai jenis senjata api seperti senapang jenis M4, AR-15, ARP-9 Heckler dan Koch MP5 dirampas.
Turut ditemukan pistol jenis CZ, Glock 17, Sand Viper dan Browning.
Beliau berkata, kesemua senjata api diperoleh melalui pesanan secara dalam talian sebelum dijual semula oleh suspek di platform Tiktok dengan harga tertentu mengikut kualiti.
“Siasatan awal, ketiga-tiga suspek berperanan sebagai penjaga stor dan runner yang menguruskan urusan hantaran dan tempahan pembelian yang dibuat pelanggan mereka.
“Mereka dipercayai telah menerima bayaran daripada ketua mereka, selain menyewa kediaman di kawasan perumahan dilengkapi pengawal keselamatan bagi mengelak dikesan polis,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini, hari ini.
Zairulnizam berkata, operasi sama turut dilakukan di empat lokasi di ibu negara dan Johor sejak pukul 7 pagi tadi.
Operasi Op Taring Bravo 3.0 dilancarkan kerana terdapat beberapa kejadian jenayah yang mana suspek dikesan menggunakan senjata api palsu.
Kata beliau, kesemua serbuan yang dilakukan serentak hasil risikan dan maklumat diperolehi sejak sebulan lalu berhubung kegiatan penjualan senjata api tiruan di platform media sosial.
“Siasatan lanjut masih berjalan bagi memperolehi jumlah sebenar senjata api yang dirampas. Maklumat lengkap hasil serbuan dan rampasan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan dan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembeli-pembeli yang telah membeli senjata api tiruan daripada ketiga-tiga suspek akan diburu bagi tindakan lanjut.
“Kita (polis) juga mempunyai senarai pembeli yang membeli senjata api daripada ketiga-tiga suspek.
“Saya nasihat kepada mereka agar senjata berkenaan dilupuskan sebelum kami mengesan mereka dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.


































