GEORGIA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun bertarung nyawa di hospital selepas disengat 150 ekor lebah jenis ‘yellow jacket’ dalam insiden yang berlaku ketika dia bermain bersama sepupunya.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Beckham Reed, sedang menunggang permainan elektrik bersama sepupu-sepupunya apabila secara tidak sengaja mengganggu sarang lebah ‘yellow jacket’, menyebabkan serangga berbisa itu menyerang dan menyengat tubuhnya dari kepala hingga ke kaki.
Ibu bapa mangsa, Mariah dan Peyton, segera membawanya ke hospital Southeast Georgia Health System, Georgia di mana Beckham diberi suntikan morphine dan ubat antihistamin Benadryl sebelum dibenarkan pulang namun, tidak sampai 24 jam selepas kejadian, kulit Beckham bertukar kekuningan, memaksa ibu bapanya membawanya semula ke hospital yang kemudian mengesahkan Beckham mengalami kegagalan pelbagai organ.
Beckham seterusnya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Memorial Savannah dan dimasukkan ke mesin dialisis dan alat bantuan pernafasan, serta diberikan ubat-ubatan kritikal melalui saluran darah bagi membantu tubuhnya berehat dan menyingkirkan toksin.
“Disebabkan usia dan saiz tubuhnya yang kecil serta jumlah sengatan yang terlalu banyak, tubuh Beckham tidak mampu menampung jumlah toksin yang masuk ke dalam sistem badannya,” demikian menurut Tiffany Hewatt, yang mewujudkan halaman sumbangan GoFundMe untuk keluarga mangsa.
Tiffany memaklumkan bacaan hemoglobin Beckham jatuh ke paras berbahaya iaitu 6.8, dan beliau terpaksa menerima bekalan darah tambahan selepas menjalani sesi dialisis.
Keluarga juga memaklumkan pihak perubatan kini sedang meningkatkan kadar pemakanan melalui tiub, mengurangkan jumlah cecair dalam tubuh, dan menarik keluar lebih banyak cecair menerusi rawatan dialisis dan Beckham juga berjaya dihentikan daripada pengambilan ubat tekanan darah, walaupun masih mengalami sedikit ketidakstabilan pada malam tersebut.
Dalam kemas kini terbaru semalam, Beckham dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pemulihan secara perlahan, namun masih memerlukan bantuan alat pernafasan dan doktor masih dalam usaha menstabilkan keadaannya.
Keluarga turut bimbang satu-satunya buah pinggang Beckham yang masih berfungsi mungkin gagal, namun ia hanya dapat dipastikan selepas beliau dihentikan daripada dialisis sepenuhnya.


































