GUANGZHOU: Seorang wanita berusia 50 tahun dari selatan China mencetuskan sensasi di media sosial selepas mendedahkan sudah berkahwin dengan rakan sekelas anaknya yang berasal dari Russia.
Menurut Utusan Malaysia, wanita itu juga mengakui kini sedang hamil, perkembangan yang mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna internet.
Wanita berkenaan yang dikenali dalam talian sebagai ‘Kakak Xin’ merupakan usahawan e-dagang yang menetap di Guangzhou dan sering berkongsi kehidupan hariannya bersama suami warga asing di sebuah vila mewah lengkap dengan tukang masak dan pemandu peribadi kepada lebih 13,000 pengikut di platform Douyin.
Kakak Xin, yang pernah bercerai pada usia 30 tahun dan membesarkan dua orang anak secara bersendirian, mula mengenali suaminya, Defu, seorang pelajar Russia yang fasih berbahasa Mandarin enam tahun lalu ketika dia diundang ke jamuan Tahun Baru Cina oleh anak lelakinya, Kaikai.
Menurut Kakak Xin, Defu yang pada asalnya hanya dijemput bermalam satu malam, akhirnya tinggal selama seminggu kerana terpesona dengan masakan dan layanan diberikannya.
“Saya masih muda dan menarik ketika itu,” katanya sambil mengakui Defu terus berhubung selepas itu, sering menghantar hadiah dan kejutan sebagai tanda perhatian.
Meskipun pada awalnya menolak hasrat Defu kerana perbezaan budaya, kisah perkahwinan lampau yang gagal, jarak usia melebihi 20 tahun dan beza ketinggian hampir 30 cm, Kakak Xin akhirnya menerima cinta baharu itu atas galakan anaknya sendiri dan mereka terus mendaftarkan perkahwinan pada awal tahun ini.
Sepanjang perkahwinan mereka, pasangan itu telah melancong ke serata China, menikmati pelbagai hidangan tradisional termasuk masakan Kantonis, selain melawat tempat-tempat bersejarah seperti kampung halaman legenda kung fu, Wong Fei-hung.
Pada 8 Jun lalu, Kakak Xin mengejutkan pengikutnya apabila mengumumkan kehamilannya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosialnya.
“Kehamilan pada usia lewat memang berisiko, tetapi bersama Defu menjadikan semuanya berbaloi,” katanya.
Difahamkan bayi mereka dijangka lahir pada musim bunga akan datang dan pasangan itu telah pun membeli katil bayi serta bersiap sedia menyambut kehadiran cahaya mata sulung mereka bersama.
Kisah cinta luar biasa itu menjadi topik hangat di media sosial China, dengan ada warganet yang memberi sokongan sementara yang lain meluahkan keraguan.































