KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur kini bekerjasama rapat dengan Bukit Aman bagi mengesan suspek dalam kes tembakan yang berlaku di Cheras dan Brickfields baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, beberapa siri mesyuarat penyelarasan telah diadakan dalam siasatan tersebut.
“Setakat ini, masih belum ada suspek yang dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti individu terlibat.
“Bagi kes Cheras, kita juga sedang meneliti beberapa motif kejadian bersama JSJ Sarawak,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Menurutnya, fotofit tidak dapat dibuat kerana saksi di lokasi kejadian memaklumkan suspek memakai pelitup muka dan topi ketika kejadian.
Sebelum ini, media melaporkan dua kejadian tembakan yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai berpunca daripada perseteruan antara suspek dan mangsa.
Polis Kuala Lumpur dilaporkan berkata, kedua-dua kes tembakan yang berlaku akibat masalah yang timbul di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian tembakan yang membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras pada 16 Jun lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.
Sementara itu, kejadian tembakan yang berlaku di Brickfields pada 13 Jun pula dipercayai berpunca daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor.


































