BEIJING: Pengeluar kenderaan elektrik China, Xiaomi, menerima hampir 300,000 pratempahan dalam masa satu jam bagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, dalam apa yang digambarkan oleh syarikat itu sebagai detik “ajaib” untuk industri automotif.
Menurut Utusan Malaysia, Lei Jun, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat elektronik yang kini turut menghasilkan kereta itu, berkata beliau terkejut dengan sambutan luar biasa daripada pelanggan.
“Dalam hanya dua minit, kami menerima 196,000 pratempahan berbayar dan 128,000 tempahan awal” kata Lei dalam satu video yang diedarkan selepas pelancaran kenderaan itu pada malam Khamis.
Bahagian kenderaan elektrik Xiaomi kemudian mengumumkan menerusi akaun rasmi Weibo bahawa sebanyak 289,000 pratempahan diterima untuk model YU7 lima tempat duduk, yang dijual pada harga permulaan 253,500 yuan (kira-kira AS$35,000), dalam tempoh satu jam pertama jualan.
Saham Xiaomi melonjak lapan peratus ke paras tertinggi dalam sejarah di pasaran Hong Kong susulan ledakan tempahan awal itu.
Gergasi teknologi berpangkalan di Beijing ini mula menceburi bidang pembuatan kereta menerusi model SU7 EV tahun lalu, sebagai sebahagian daripada usaha industri untuk meningkatkan penggunaan domestik.
Perdana Menteri Li Qiang dalam Forum Ekonomi Dunia di Tianjin minggu ini turut menggariskan hasrat China untuk menjadi “kuasa besar dalam penggunaan domestik”, dengan menekankan dasar-dasar yang merangsang permintaan terhadap barangan bernilai tinggi seperti kenderaan elektrik.


































