WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan semula tindakan pengusiran segera terhadap migran ke negara selain negara asal mereka, sekali gus menarik balik perintah mahkamah sebelum ini yang mewajibkan peluang mencabar undang-undang sebelum dihantar pulang.
Menurut Utusan Malaysia, perintah ringkas yang dikeluarkan pada Isnin itu tidak mengandungi penjelasan lanjut mengenai alasan keputusan majoriti hakim.
Namun, seramai tiga hakim liberal membantah keputusan tersebut.
Pada Mei lalu, pegawai imigresen menaikkan lapan orang migran ke dalam pesawat menuju ke Sudan Selatan, namun penerbangan itu akhirnya dihalakan ke pangkalan tentera laut AS di Djibouti selepas seorang hakim campur tangan.
Mereka yang terlibat termasuk pelarian dan migran dari Myanmar, Vietnam dan Cuba yang sebelum ini disabitkan kesalahan jenayah ganas di AS.
Pegawai imigresen berkata, usaha menghantar mereka pulang ke negara asal menghadapi halangan diplomatik dan teknikal.
Kes ini muncul dalam suasana tindakan keras pentadbiran Trump terhadap imigresen dengan janji untuk mengusir berjuta-juta pendatang tanpa dokumen dari negara itu.
Dalam hujahan pembangkang, Hakim Liberal Sonia Sotomayor memberi amaran keputusan mahkamah ini boleh mendedahkan ribuan nyawa kepada risiko diseksa atau dibunuh.
“Kerajaan menunjukkan ia bebas daripada undang-undang dan boleh menghantar sesiapa ke mana sahaja tanpa notis atau peluang untuk membela diri,” katanya.


































