Haji Hajiji Haji Noor
LAHAD DATU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembukaan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di Kawasan Pemeliharaan Lembah Danum adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Sabah terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan biodiversiti di negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah itu selari dengan matlamat mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif di samping memastikan pengurusan hutan secara mampan.
“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan seperti ini.
“Saya juga berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan lebih banyak sokongan, terutamanya dalam bentuk pembiayaan berterusan menerusi Dana Amanah Pemuliharaan Negara untuk Sumber Asli (NCTF) serta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan datang,” katanya ketika merasmikan pembukaan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Ketua Menteri yakin dengan sokongan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum dan keseluruhan landskap Hutan Hujan DaMaI (Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon) akan terus kekal sebagai khazanah biodiversiti dunia, di samping menjadi pusat utama negara dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan.
Hajiji berkata, penubuhan pusat itu menerusi dana RM5.6 juta daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di bawah RMK-12 adalah sejajar dengan teras Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan sumber asli demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan,” katanya.
Hajiji turut memuji kejayaan Yayasan Sabah dalam mengurus dan memelihara Kawasan Pemeliharaan Lembah Danum serta kawasan-kawasan lain seumpamanya sejak sekian lama.
“Kumpulan Yayasan Sabah bukan sahaja memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan pemeliharaan hutan yang amat berharga dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), malah turut mengangkat nama Sabah di pentas antarabangsa sebagai model pengurusan kawasan pemuliharaan yang telus, berintegriti dan berpandangan jauh,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar atas sokongan mereka sehingga memungkinkan pembinaan stesen penyelidikan tersebut.
Beliau berkata, stesen penyelidikan yang diwujudkan dalam Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di bawah Jawatankuasa Pengurusan Jabatan Perhutanan Sabah turut melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), terletak di kawasan strategik antara tapak projek Face The Future dari Belanda (INFAPRO) dan Pusat Kajian Lembah Danum.
“Dengan hutan dara Lembah Danum hanya terletak di seberang sungai, kawasan yang kita duduki sekarang ini adalah zon penampan yang telah dipulihkan menerusi Projek INFAPRO dalam Hutan Simpan Ulu Segama-Malua.
“Ramai yang tidak menyedari bahawa hutan yang kita lalui dalam perjalanan ke sini hari ini adalah hutan yang telah dipulihkan – hasil daripada usaha gigih selama bertahun-tahun. Ini membuktikan bahawa pemulihan hutan boleh berjaya jika kita mempunyai visi dan komitmen, dan Sabah telah berjaya mencapainya,” katanya.
Ketua Menteri berkata, pusat itu juga amat sesuai untuk mendidik generasi muda melalui program pendidikan alam sekitar seperti yang sedang dijalankan oleh Kelab Alam Semula Jadi Sabah.
Beliau menyambut baik inisiatif Kelab Alam Semula Jadi Sabah di bawah seliaan Kumpulan Yayasan Sabah yang mengambil beberapa sekolah di Lahad Datu untuk dijadikan sekolah angkat.
“Saya percaya langkah ini akan membuka peluang kepada generasi muda untuk memahami dan menghargai pemuliharaan alam sekitar sejak usia muda,” katanya.
Ketua Menteri turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program pembangunan berasaskan kelestarian hijau dengan mengutamakan penggunaan dan pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab serta memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi demi generasi akan datang.
“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, penyelidikan mengenai pengurusan dan pemuliharaan sumber ini amat penting. Ini termasuk penyelidikan bagaimana sumber ini boleh dimanfaatkan secara lestari demi manfaat rakyat dan negara, serta impaknya terhadap alam sekitar,” katanya.
































