Gambar Hiasan
PARIS: Minuman yang dijual dalam botol kaca termasuk air, soda, bir dan wain dikesan mengandungi lebih banyak mikroplastik berbanding minuman botol plastik atau tin.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu didedahkan dalam kajian terbaharu agensi keselamatan makanan Perancis (ANSES) pada Jumaat.
Kajian tersebut menambah kepada kebimbangan global mengenai kewujudan kepingan kecil plastik yang hampir tidak dapat dilihat, dan kini dikesan bukan sahaja di dalam udara dan makanan, bahkan turut ditemukan pada tubuh manusia.
Walaupun masih tiada bukti kukuh menunjukkan mikroplastik memberi kesan negatif secara langsung terhadap kesihatan, penyelidik dari pelbagai negara giat mengkaji tahap penyebaran serta kemungkinan risiko kepada manusia.
Pengarah penyelidikan ANSES, Guillaume Duflos berkata, kajian tersebut bertujuan mengenal pasti jumlah mikroplastik dalam pelbagai jenis minuman di Perancis serta mengkaji bagaimana jenis bekas minuman mempengaruhi kadar pencemaran.
Hasil kajian mendapati botol kaca mencatatkan purata sekitar 100 zarah mikroplastik bagi setiap liter minuman, lima hingga 50 kali ganda lebih tinggi berbanding botol plastik atau tin.
Bagi air minuman, sama ada berkarbonat atau tidak, jumlah mikroplastik yang dikesan agak rendah, iaitu antara 4.5 zarah setiap liter dalam botol kaca hingga 1.6 zarah dalam botol plastik.
Wain juga mengandungi sedikit mikroplastik, termasuk yang disimpan dalam botol kaca bertutup.
Penyelidik, Iseline Chaib berkata kepada AFP, ia menyedari zarah ditemukan dalam botol kaca mempunyai bentuk, warna dan komposisi polimer yang sama seperti cat pada bahagian luar penutup botol kaca.
Menurut ANSES, cat pada penutup botol mempunyai calar halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kemungkinan besar disebabkan oleh geseran antara penutup semasa disimpan.
Katanya, keadaan itu berkemungkinan ‘melepaskan zarah ke permukaan penutup botol’.
































