BUTTERWORTH : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempertimbang untuk membatalkan lesen penunggang motosikal yang diperoleh melalui Program MyLesen B2 sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebelum ini, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan besar bagi memudahkan golongan B40 untuk memperoleh lesen memandu Kelas B2 dan penerima perlulah mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
“Saya telah meminta Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu untuk meneliti isu ini sebelum tindakan lanjut diambil. Kita rekodkan senarai calon telah berjaya memperoleh lesen menerusi MyLesen B2 dalam sistem berasingan, maknanya, mereka semua ini lulus menerusi peruntukan yang dikeluarkan kerajaan.
“Jadi, kita mengharapkan penunggang-penunggang ini terutamanya anak-anak muda patuh akan peraturan jalan raya, namun, kita juga bersedia mengambil tindakan sewajarnya kepada penerima bersubsidi ini sekiranya mereka melanggar peraturan.
“Ketika ini, kita sedang meneliti perkara ini dan tidak akan memberi muka kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jalan raya terutamanya anak-anak muda yang merempit (mat rempit),” katanya selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, petang tadi.
Terdahulu, seramai 993 penerima memperolehi lesen menerusi program terbabit dan daripada jumlah itu, 95 peratus daripadanya terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta golongan belia di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, secara keseluruhannya, seramai 15,000 individu menerima lesen percuma menerusi program berkenaan.
































