Keadaan sebuah lori lima tan merempuh sebuah rumah di Kampung Sri Lukut, Kahang, pagi Sabtu.
KLUANG: Bukan sekali namun kejadian kenderaan terbabas memasuki kawasan kediaman sebuah keluarga di Kampung Sri Lukut di sini, sudah kali ketiga berlaku dan kali ini yang paling teruk sekali.
Menurut Utusan Malaysia, Fazli Hamsan, 43, berkata, dalam kejadian itu, sebuah lori lima tan merempuh dinding rumahnya hingga sebahagiannya runtuh.
Katanya, ketika kejadian semua ahli keluarga tiada di rumah kerana bekerja dan bergegas pulang selepas dimaklumkan jiran.
“Saya tidak tahu macam mana lori berkenaan boleh terbabas melanggar rumah kerana kedudukan rumah agak jauh dari tepi jalan utama antara Kluang ke Mersing.
“Apa yang saya tahu, bahagian hadapan lori sudah melekat pada dinding yang runtuh dan kebetulan semua penghuni tiada di rumah,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui Sabtu.
Menurut Fazli lagi, sejak menghuni rumah itu lebih lima tahun lalu, kali pertama berlaku apabila tayar sebuah lori tertanggal lalu bergolek ke halaman rumahnya sebelum melanggar kereta di hadapan pintu.
Kejadian kali kedua berlaku kira-kira dua tahun lalu apabila sebuah kereta hilang kawalan lalu terbabas ke halaman rumah, namun tidak mengenai kediaman dan ketika itu semua penghuni ada.
“Kami amat bersyukur kerana semua kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa namun berharap ada tindakan dilakukan seperti memasang penghadang jalan berikutan kedudukan beberapa rumah di sini kebetulan berada di kawasan agak curam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh mengesahkan kejadian berlaku di Kilometer 99 Jalan Batu Pahat-Mersing di Kampung Sri Lukut, pada pukul 8.20 pagi, Sabtu.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori lima tan itu negatif daripada pengaruh dadah.






























