Masiung menerima cenderamata daripada Ruddy.
PITAS: Dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pitas dan Pintasan diyakini menjadi ‘fixed deposit’ Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi cemerlang jentera parti di kedua-dua kawasan berkenaan, yang diyakini akan menyumbang kemenangan bergaya kepada GRS.
“Kita yakin Pitas dan Pintasan mampu mempertahankan kerusi masing-masing dalam PRN akan datang. Ini kawasan yang terbukti setia dan kukuh bersama Gagasan Rakyat serta GRS,” katanya semasa merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Pitas di Dataran Terbuka Kampung Salimpodon, sebelum menghadiri persidangan tahunan bahagian Pintasan di Kota Belud.
Gagasan Rakyat Bahagian Pitas dipimpin oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Dato’ Sri Ruddy Awah, manakala Pintasan diketuai Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan.
Ketika berucap di hadapan lebih 2,500 perwakilan di Pitas, Masiung mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak leka ketika berada di puncak kecemerlangan.
“Tinggalkan sikap selesa. Kita perlu terus bekerja keras di peringkat akar umbi untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepada kita,” katanya.
Masiung turut mengingatkan agar sejarah Perang Badar dijadikan pengajaran, di mana tentera Islam yang pada awalnya menang akhirnya tewas kerana terlalu leka ketika meraikan kejayaan.
“Jangan ulangi kesilapan yang sama. Kemenangan tidak boleh dijadikan alasan untuk lalai,” tambahnya.
Dalam ucapannya di Kota Belud pula, Masiung menasihatkan ahli-ahli Gagasan Rakyat di Pintasan agar sentiasa mematuhi arahan pimpinan parti dan tidak bertindak mengikut kehendak sendiri.
“Kita perlu bekerja secara berpasukan. Jangan biarkan gerak kerja parti terjejas kerana tindakan individu,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan agar ahli-ahli parti tidak terlalu sibuk dengan teka-teki berkenaan tarikh pembubaran DUN, kerana perkara itu adalah kuasa mutlak Presiden parti.
“Fokus kita sekarang ialah memperkemas gerak kerja di peringkat bahagian dan cawangan. Soal pembubaran DUN biarlah diputuskan oleh pucuk pimpinan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu menambah, pemimpin dan ahli parti perlu terus memberi perhatian kepada isu-isu rakyat dan tidak mudah terpengaruh dengan serangan pembangkang.
“Semakin kuat pembangkang menabur fitnah, semakin kukuh kedudukan kita. GRS dan Gagasan Rakyat adalah kerajaan yang sedang bekerja untuk rakyat,” katanya.






























