Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan berhubung penipuan pakej haji ke atas sekumpulan warga emas yang didakwa dikurung dan dipaksa meredah laluan berbahaya di Arab Saudi.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, siasatan dilakukan pihaknya setelah menerima tiga laporan polis itu dibuat oleh ahli keluarga jemaah Malaysia di Mantin, Negeri Sembilan dan Ayer Hitam, Johor.
Kata beliau, perkara itu kini sedang diteliti dengan serius oleh JSJK dan siasatan dijalankan merangkumi pelbagai elemen.
“Buat masa ini masih terlalu awal untuk menyatakan wujud unsur penipuan rentas sempadan.
“Keterangan dan bukti sedang dikumpul berkenaan kemungkinan sindiket tersebut bekerjasama dengan ejen tertentu atau pun tidak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, sebuah akbar melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya kini menunggu kepulangan mangsa-mangsa untuk merakam keterangan dan mengambil tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penipuan.
“Siasatan masih di peringkat awal untuk mengenal pasti individu atau agensi tempatan yang bertindak sebagai ejen pemudah dalam aktiviti tawaran haji ini.
“JSJK akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyenarai hitam syarikat yang menawarkan pakej tanpa kelulusan,” jelasnya.
Tambah Muhammed Hasbullah, langkah ini penting bagi melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan dan turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa membuat semakan dengan agensi berautoriti sebelum menerima sebarang tawaran berkaitan haji.
“JSJK amat menghargai kerjasama media dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat bahawa hanya individu yang memiliki visa haji dibenarkan oleh pihak berkuasa di Tanah Haram untuk menunaikan ibadah haji.
“Kami komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memperdaya jemaah,” katanya.


































