Teo Nie Ching
JOHOR BAHRU: Facebook telah diarah untuk menutup akaun ‘Group Budak-budak Sekolah Rendah’ yang mencetuskan kemarahan ramai susulan penyebaran gambar remaja perempuan dengan tujuan tidak senonoh, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, arahan itu telah diberikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada syarikat induk laman sosial tersebut iaitu Meta Platforms Inc. (Meta).
“MCMC dah hubungi Meta dan akaun Facebook tersebut telah ditutup. Kita juga akan bekerjasama dengan polis untuk ambil tindakan susulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Projek Membaca anjuran Kolej Universiti Selatan di sini hari ini.
Baru-baru ini, pempengaruh media sosial, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, telah membuat laporan polis berkaitan kumpulan tersebut di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Mek Yun yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang meluahkan rasa terkejut apabila mendapati gambarnya ketika zaman persekolahan turut dimuat naik ke dalam kumpulan tersebut tanpa sebarang kebenaran.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu turut memberitahu, MCMC telah bekerjasama dengan polis dengan menurunkan lebih daripada 40,000 kandungan salah laku seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur, tahun lalu.
“Seramai 13 individu telah ditangkap dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pesalah terlibat.
“Golongan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak bawah umur diminta untuk membuat lebih banyak pemantauan terhadap penggunaan internet dalam kalangan anak-anak jagaan mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi telah melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) bertujuan memperkukuh kesedaran serta keupayaan rakyat dalam menghadapi cabaran keselamatan digital yang semakin membimbangkan.
“Sehingga kini MCMC telah melaksanakan kempen itu di 53 buah sekolah melibatkan seramai 11,839 peserta terdiri daripada murid, pelajar, cikgu dan juga ibu bapa. Sasaran kita adalah untuk melaksanakan kempen berkenaan di 344 sekolah menjelang Ogos ini,” jelasnya.


































