UDON THANI: Tindakan seorang lelaki menghidu seluar dalam lelaki yang disidai di luar sebuah asrama di wilayah Udon Thani, Thailand, mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan apabila perbuatan pelik itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Rakaman insiden tersebut tular selepas seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun, dikenali sebagai Ball, memuat naik video daripada CCTV miliknya ke dalam sebuah kumpulan Facebook komuniti tempatan, bertujuan memberi amaran dan meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti suspek.
Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki yang memakai topi keledar, baju-T hitam bercorak merah dan seluar pendek hitam dilihat berjalan terus ke arah jemuran pakaian, mengambil beberapa helai seluar dalam lelaki dan menghidu satu persatu sebelum meletakkannya semula dan beredar dari tempat kejadian menaiki motosikal.
Ball memberitahu stesen penyiaran tempatan, Channel 7, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi waktu tempatan pada 11 Jun lalu ketika dia menyediakan bahan masakan untuk restorannya yang terletak bersebelahan asrama tersebut.
Dia memaklumkan, pada mulanya dia melihat lelaki itu memasuki kawasan asrama dengan menunggang motosikal tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan dilihat terkejut apabila menyedari kehadirannya sebelum segera beredar dan Ball kemudian bertindak memeriksa rakaman CCTV dan menemui aksi mencurigakan itu.
Menurutnya pemilik pakaian yang dihidu lelaki terbabit tidak membuat laporan polis kerana tiada barang yang hilang dan kemudiannya Ball berkongsi video tersebut di media sosial semata-mata untuk meningkatkan kesedaran awam serta memberi amaran kepada penduduk sekitar.
Tingkah laku sebegitu bukanlah kejadian terpencil di Thailand apabila pada Mac lalu, polis di wilayah Chon Buri menahan seorang lelaki tempatan kerana mencuri pakaian dalam wanita.
Sementara itu, pada Januari tahun ini, penduduk di wilayah Nakhon Si Thammarat turut digemparkan dengan kes serupa apabila seorang lelaki dikesan mencuri pakaian dalam wanita dan mengintai seorang wanita yang sedang mandi.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas siling rumah yang dipanjatnya runtuh. Ibu suspek kemudian tampil menjamin anaknya dengan alasan dia mengalami masalah mental.


































