KUALA LUMPUR: Pangkalan data khas bagi merekodkan semua pemandu bas termasuk bas ekspres dan bas persiaran akan dibangunkan sebagai langkah segera menangani isu kecuaian dan ketidakpatuhan dalam industri pengangkutan awam.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi, susulan tragedi kemalangan maut yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Katanya, ketika ini tiada sistem berpusat yang membolehkan syarikat atau pengendali bas membuat semakan terhadap status seseorang pemandu sebelum mereka diambil bekerja.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan pemandu yang mempunyai rekod buruk masih boleh diambil bekerja tanpa pengetahuan penuh majikan baharu.
“Kadang-kadang mungkin seorang pemandu yang buruk itu dia didapati tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Contohnya, dipecat daripada syarikat A, dia mungkin pergi ke syarikat B.
“Dengan adanya sistem ini, pengendali boleh menyemak sama ada seseorang pemandu pernah terlibat dalam kesalahan atau kecuaian sebelum membuat pelantikan.
“Pangkalan data ini akan dibangunkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan akan dilengkapi dengan maklumat lengkap berkaitan latar belakang serta sejarah kesalahan pemandu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kelmarin, perjalanan kembali ke kampus 15 pelajar UPSI berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi cedera.
Dua mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), empat di Hospital Baling, Kedah manakala mangsa lain di Hospital Gerik.
Anthony berkata, Kabinet juga mengarahkan Kementerian Pengangkutan memberi penekanan lebih tegas terhadap beberapa aspek penting dalam industri bas awam.
“Antaranya, pemantauan terhadap pematuhan permit dan pengoperasian kenderaan, latihan serta penilaian menyeluruh ke atas pemandu serta penguatkuasaan lebih ketat terhadap syarikat dan pemandu yang ingkar terhadap peraturan keselamatan.
“Semua arahan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan tragedi seperti ini tidak berulang. Kita tidak mahu ada ruang lagi untuk kecuaian,” katanya.






























