PASIR PUTEH: “Saya sepatutnya menaiki bas itu untuk kembali ke kampus (Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)), namun tiba lewat lima minit di lokasi. Bas yang dinaiki rakan-rakan lain sudah bergerak.”
Menurut Utusan Malaysia, demikian cerita Nur Adilah Mohd. Rosdi, 21, yang terselamat daripada nahas meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, hari ini.
Nur Adilah berkata, sebaik sahaja tiba dilokasi, bas tersebut telah berlepas dan menghala ke Machang.
“Saya kemudian mengambil keputusan menumpang bapa saudara yang kebetulan mahu pulang ke Klang. Kami bertolak pada pukul 12 tengah malam. Alhamdulillah, saya selamat tiba di Tanjung Malim, Perak kira-kira pukul 3.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Nur Adilah berkata, sebelum kejadian hatinya menjadi gelisah sehingga dia mengambil keputusan untuk menunggu bapanya selesai menunaikan solat semata-mata mahu bersalam.
Katanya, sebaik sahaja selesai dia terus bergerak ke lokasi berkumpul sambil ditemani oleh ibunya, Rosyidah Husien, 50.
“Perjalanan dari rumah saya di Kampung Gong Bayur, Besut ke tempat berkumpul mengambil masa selama 15 minit. Saya tiba pukul 9.25 malam sedangkan bas bertolak sekitar 9.20 malam.
“Perasaan gelisah sudah timbul sejak awal lagi namun saya tetap meneruskan perjalanan ke tempat menunggu bas. Bagaimanapun, takdir Allah, saya terselamat daripada musibah tersebut,” ujarnya.
Katanya, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan itu sekitar pukul 4 pagi selepas menerima panggilan dari rakan selain melihat maklumat dalam kumpulan WhatsApp.
“Bila tengok gambar dan berita kemalangan tu, saya terus sebak. Saya tak sangka bas yang saya tertinggal itu terbabit dalam nahas,” katanya.


































