Kaedah itu dibimbangi menyebabkan kerosakan saraf, strok atau lumpuh keseluruhan badan.
BEIJING: Satu teknik luar biasa yang kononnya mampu mengatasi masalah insomnia kini mencetuskan kebimbangan ramai, selepas tular dalam media sosial klip video memaparkan individu menggantung kepala mereka menggunakan tali pinggang khas yang diikat pada palang besi.
Menurut Utusan Malaysia, teknik yang berasal dari China itu memaparkan pengguna, kebanyakannya warga tempatan, menggantung kepala mereka melalui abah-abah leher sambil berayun ke kiri dan ke kanan selama beberapa minit dan ia dikatakan mampu membantu mereka mendapatkan tidur lena, meskipun tiada bukti saintifik menyokong dakwaan tersebut.
Kaedah itu dikatakan diasaskan oleh seorang lelaki bernama Sun Rongchun dari bandar Shenyang, di timur laut China selepas dia mengalami masalah cervical spondylosis, iaitu kesakitan pada leher akibat penuaan dan kehausan tulang belakang yang turut menjejaskan waktu tidurnya.
Untuk mengurangkan kesakitan tersebut, dia mencipta satu alat sokongan leher dan memperkenalkan teknik berayun sebagai kaedah rawatan sendiri.
Sejak itu, pelbagai video memaparkan penggunaan teknik tersebut dimuat naik ke media sosial, termasuk satu klip yang tular di platform X dengan lebih 11 juta tontonan, mendakwa kaedah tersebut berkesan untuk mengatasi insomnia.
Beberapa pengguna media sosial menyifatkan teknik itu sebagai sejenis “tarikan tulang belakang serviks”, satu prosedur perubatan yang digunakan untuk mengurangkan tekanan dan kesakitan pada bahagian leher namun, ramai juga yang menyuarakan kebimbangan dan menyifatkannya sebagai “cara untuk tidur selama-lamanya”.
Beberapa pakar kesihatan memberi amaran kaedah tersebut bukan sahaja tidak diiktiraf dalam bidang perubatan, malah boleh mendatangkan maut.
Pakar bedah saraf dari Mumbai, Dr. Siddhart Gautam menjelaskan kaedah itu mungkin memberi kesan plasebo kepada sesetengah individu, namun tiada sebarang bukti kukuh menunjukkan ia benar-benar berkesan merawat insomnia manakala pakar neurologi, Dr. Manish Chhabria menegaskan ia sangat berbahaya kerana memberi tekanan melampau ke atas bahagian tulang leher, yang berisiko menyebabkan kerosakan saraf, strok atau lumpuh keseluruhan.
Lebih membimbangkan, media tempatan di China melaporkan kejadian kematian melibatkan kaedah ini dengan seorang lelaki dari Chongqing, di tenggara China, maut tahun lalu selepas menggunakan alat sokongan leher yang digantung pada pokok.


































