PETALING JAYA: Cuaca di Malaysia ketika ini dipengaruhi oleh tiupan angin Monsun Barat Daya yang lazimnya membawa taburan hujan yang sedikit di kebanyakan kawasan seluruh negara.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca ini dijangka berterusan sehingga September.
Namun ribut petir dan hujan lebat masih boleh berlaku dari semasa ke semasa terutama di barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah pada waktu pagi, serta di pedalaman Semenanjung, Sarawak dan Sabah pada sebelah petang dan malam.
“Apabila tiada hujan selama beberapa hari, cuaca panas boleh berlaku seperti yang kita alami beberapa hari lalu.
“Bagaimanapun, untuk minggu ini, suhu dijangka kekal normal kerana diramalkan hujan di beberapa kawasan pada awal pagi dan lewat petang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini tiada kawasan berada dalam status berjaga-jaga (Tahap 1) kerana hujan telah mula berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara.
Namun katanya, status berjaga-jaga itu masih boleh berlaku di beberapa kawasan dari masa ke semasa tetapi tidak secara berpanjangan.
Mengulas lanjut, Mohd. Hisham berkata, trend cuaca panas adalah berbeza setiap tahun dan biasanya meningkat jika berlaku fenomena El Nino seperti direkodkan pada awal tahun lalu.
Berdasarkan rekod pencerapan suhu, fasa cuaca panas ekstrem di negara ini biasanya berlaku Mac hingga Mei.
“Berdasarkan data semasa, tiada pembentukan fenomena El Nino dijangka berlaku tahun ini yang boleh menyebabkan cuaca panas ekstrem.
“Ramalan cuaca jangka panjang sehingga tamat Monsun Barat Daya juga tidak menunjukkan sebarang petunjuk akan berlaku cuaca panas dan kering yang ekstrem di negara kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Tetap Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Azizan Abu Samah berkata, Malaysia kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang lazimnya dikaitkan dengan musim kering.
“Ketika ini, jalur tekanan rendah yang berkait rapat dengan monsun berada di utara ASEAN seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja, sekali gus menyebabkan negara-negara tersebut mengalami musim hujan.
“Malaysia dan Indonesia pula berdepan cuaca kering dan kurang berawan. Ini menyebabkan permukaan bumi menerima cahaya matahari secara langsung pada waktu siang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan suhu,” katanya.
Katanya, suhu tertinggi pernah dicatatkan di negara ini ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada April ketika dipengaruhi fenomena El Nino.
“Bagaimanapun, El Nino tidak berlaku ketika ini, maka suhu dijangka tidak melonjak sehingga 40 darjah Celsius seperti yang pernah direkodkan di Perlis,” katanya.
Jelas beliau lagi, berdasarkan ramalan Pusat Khidmat Cuaca Khas ASEAN (ASMC), suhu bagi bulan Jun dijangka sedikit lebih tinggi daripada biasa, namun ketepatan ramalan tersebut lebih relevan bagi kawasan utara ASEAN berbanding Malaysia dan Indonesia.
“Gelombang haba hanya berlaku apabila suhu melebihi 37 darjah Celsius selama beberapa hari berturut-turut. Setakat ini, kita masih belum berada dalam situasi tersebut,” katanya.


































