JAKARTA: Indonesia mengarahkan semua fasiliti kesihatan negara itu meningkatkan pemantauan terhadap penularan wabak Covid-19 susulan kewujudan subvarian Omicron yang lebih mudah berjangkit dan menyebabkan lonjakan kes di beberapa negara Asia.
Menurut Utusan Malaysia, negara-negara seperti Thailand, Hong Kong, Malaysia dan Singapura mula melaporkan peningkatan kes sejak bulan lalu yang dipercayai berpunca daripada varian JN.1, iaitu satu mutasi kepada varian Omicron yang mula dikesan pada penghujung 2023 dan kini menjadi satu daripada strain dominan di seluruh dunia.
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, pada Selasa memaklumkan kepada Presiden Prabowo Subianto mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di republik itu.
“Memang terdapat peningkatan kes, tetapi peningkatan ini berpunca daripada varian yang didapati kurang berbahaya,” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas Kementerian Kesihatan Indonesia minggu lalu mengeluarkan surat pekeliling kepada agensi-agensi daerah, hospital, pusat komuniti dan fasiliti perubatan lain di seluruh negara agar memantau perkembangan kes serta melaporkan sebarang keadaan luar biasa.
Pusat-pusat kuarantin kesihatan juga diarahkan memperketat pemantauan terhadap individu, kenderaan dan barangan dari luar negara, terutamanya dari negara-negara yang sedang mengalami gelombang baharu Covid-19.
Berdasarkan data terkini daripada Kementerian Kesihatan, Indonesia merekodkan 72 kes Covid-19 setakat tahun 2025, dengan tiada kematian dilaporkan.
Dalam tempoh seminggu lalu sahaja, tujuh kes baharu dilaporkan, manakala kadar positif menurun kepada 2.05 peratus berbanding 3.62 peratus minggu sebelumnya.


































