Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif bagi menghalang kemasukan warga asing daripada beberapa negara dalam usaha melindungi rakyat negara ini daripada pelaku asing yang berbahaya.
Menurut Utusan Malaysia, perintah eksekutif itu menyekat sepenuhnya kemasukan warganegara dari 12 buah negara, iaitu Afghanistan, Myanmar, Chad, Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Sementara itu, tujuh lagi negara iaitu Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela berdepan sekatan separa terhadap kemasukan ke AS.
Trump berkata, langkah itu digerakkan susulan serangan bom molotov yang berlaku di Colorado baru-baru ini, sambil memberi amaran senarai negara boleh dikemas kini sekiranya terdapat ancaman baharu yang muncul di peringkat global.
Dalam serangan tersebut, seorang rakyat Mesir, Mohamed Sabry Soliman, dituduh menyerang sekumpulan penunjuk perasaan Yahudi menggunakan bom api, mengakibatkan lapan orang cedera.
Trump turut membandingkan langkah baharu ini dengan larangan perjalanan kontroversinya ketika penggal pertama dahulu, yang melibatkan negara-negara majoriti Islam.
Katanya, langkah itu dapat mengelakkan AS daripada serangan seperti yang berlaku di Eropah.
“Kita tidak akan biarkan tragedi di Eropah menimpa AS. Kita tidak boleh membenarkan migrasi terbuka dari mana-mana negara yang kita tidak mampu saring dengan selamat dan tepat,” katanya.


































