LONDON: Larangan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape pakai buang berkuat kuasa secara rasmi di seluruh United Kingdom (UK) bermula hari ini dalam usaha melindungi kesihatan kanak-kanak dan membendung budaya ‘guna dan buang’’.
“Sudah terlalu lama vape pakai buang mencemarkan jalan-jalan kita dan menyebabkan kanak-kanak ketagih nikotin,” kata Menteri Alam Sekitar, Mary Creagh.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, kerajaan kini mengakhiri penggunaan peranti merbahaya tersebut dengan mengharamkan penjualan dan pembekalan di kedai serbaneka dan pasar raya di seluruh UK.
Individu yang melanggar larangan ini akan dikenakan denda sebanyak 200 pound (RM1,145) manakala pesalah berulang boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Sejak diperkenalkan di UK pada 2021, vape pakai buang yang berwarna-warni dan dijual pada harga murah dengan perisa menarik seperti pudina, coklat, mangga atau tembikai menjadi pilihan popular dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak.
Menurut Material Focus, sebuah badan bukan untung bebas yang berpangkalan di UK, hampir lima juta unit vape pakai buang dibuang setiap minggu sepanjang 2024.
Lebih 40 tan logam litium iaitu bahan utama dalam industri teknologi turut dibuang bersama peranti tersebut setiap tahun. Jumlah itu cukup untuk membekalkan kuasa kepada 5,000 kenderaan elektrik.
Perkhidmatan bomba turut memberi amaran mengenai risiko vape yang dibuang sebarangan boleh menyebabkan kebakaran dalam sampah domestik.
“Setiap vape yang dibuang secara tidak betul berpotensi untuk menyebabkan kebakaran,” kata pengurus komersial di syarikat pemprosesan sisa elektronik SWEEEP Kuusakoski, Justin Greenaway.
Undang-undang baharu yang pertama kali dicadangkan oleh kerajaan Konservatif terdahulu turut bertujuan membendung peningkatan penggunaan vape.


































