Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengkaji semula penggabungan Halal Development Corporation (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan masih mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memperkasakan industri halal negara secara menyeluruh.
“Penekanan utama adalah untuk mengelakkan pertindihan fungsi antara agensi-agensi yang terlibat dalam ekosistem halal.
“Matrade akan terus memberi tumpuan kepada aspek perdagangan halal dengan memanfaatkan jaringan global sedia ada bagi meningkatkan akses pasaran produk halal Malaysia ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas ketika menjadi panelis dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025, di sini, semalam.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga akan ditumpukan kepada pelaburan halal bagi memastikan strategi yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Sehubungan itu, kita mahu HDC terus memainkan peranan utama dalam aspek pembangunan halal, termasuk pembangunan kapasiti, pensijilan, inovasi dan rantaian nilai halal. Ini penting bagi memastikan pertumbuhan industri halal yang menyeluruh dan mampan,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan kini komited untuk mewujudkan ekosistem halal yang lebih strategik, selaras dengan matlamat Malaysia untuk kekal sebagai peneraju dalam industri halal global.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Sekretariat Majlis Halal Malaysia mencadangan untuk penubuhan suruhanjaya halal.
“Kita akan mengemukakan kepada kabinet sama ada kita boleh menubuhkan suruhanjaya halal dan MITI bertindak sebagai sekretariat dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi suruhanjaya itu.
“Setakat ini, pihak kami sedang mendapatkan ulasan daripada pihak kementerian lain,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, terdapat cadangan beberapa negara lain untuk bekerjasama mengenai pengalaman industri halal.
“Industri halal ini bukan sahaja industri melibatkan makanan dan minuman (F&B) tetapi dari segi logistik, farmaseutikal dan sebagainya,” katanya.


































