KUALA LUMPUR: Kerajaan akan tetap melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi bahan api RON95 seperti yang dijadualkan pada separuh kedua tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, buat masa ini fokus Kementerian Kewangan (MOF) adalah menentukan tahap kelayakan penerimaan subsidi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Seperti yang dibincangkan sebelum ini, kita akan teruskan proses pelaksanaan rasionalisasi subsidi, namun buat masa ini perkara paling penting adalah memastikan sistem yang menentukan kelayakan penerima subsidi dapat dilaksanakan dengan baik.
“Menteri dan Jemaah Menteri sedang berbincang mengenai mekanisme pengeluaran subsidi, termasuk penambahbaikan sistem kelayakan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima bantuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.
Amir Hamzah berkata, kaedah pelaksanaan akan menggunakan MyKad seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Kita sudah menggunakan MyKad dalam pelbagai skim termasuk Skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan ia terbukti berkesan.
“Jadi buat masa sekarang, MOF sedang memperkemas sistem ini di mana kita boleh menggunakannya untuk perlaksanaan subsidi RON95,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan langkah rasionalisasi subsidi petrol pada Oktober tahun lalu, yang dijangka menjimatkan RM8 bilion setahun.
Penggubal undang-undang sebelum ini menggesa kerajaan untuk menangguhkan langkah itu kerana bimbang ia akan menjejaskan keyakinan perniagaan dan meningkatkan kos pengguna.
Bagi meredakan kebimbangan rakyat, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa kajian kerajaan menunjukkan pemotongan subsidi yang dirancang tidak akan memberi kesan kepada kira-kira 90 peratus rakyat.
Menurut beliau, pelarasan harga RON95 perlu diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran, dengan subsidi petrol sepatutnya disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, bukannya dinikmati warga asing serta golongan mahakaya.
“Orang asing nikmati RM3 bilion hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini, nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” kata beliau.
Rasionalisasi subsidi RON95 ini adalah rentetan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran bagi semenanjung, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai BUDI MADANI bermula 10 Jun 2024.
Dengan langkah rasionalisasi yang diambil kerajaan, ia dapat menjimatkan kira-kira RM4 bilion setahun selepas kerajaan membelanjakan RM14.5 bilion untuk subsidi diesel pada 2023, iaitu peningkatan mendadak akibat ketirisan yang berlaku terutama di sempadan negara.
Langkah tersebut memberi impak positif apabila kerajaan pada Januari lalu meningkatkan sasaran penjimatan daripada RM4 bilion kepada RM7.5 bilion setahun selepas ia dilihat mengekang ketirisan yang lebih besar daripada jangkaan.

































