SHANGHAI: Seorang wanita muda di China diarahkan menanggalkan solekan tebal di lapangan terbang selepas sistem pengecaman wajah gagal mengesahkan identitinya.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Shanghai itu menjadi tular minggu lalu selepas rakaman pendek memperlihatkan wanita berkenaan menggunakan tisu basah untuk membersihkan wajahnya sambil dimarahi petugas lapangan terbang tersebar luas dalam media sosial tempatan.
Menurut maklumat pada pas pelepasan dan kad pengenalan yang ditunjukkan dalam rakaman tersebut, insiden itu dipercayai berlaku pada September tahun lalu namun hanya mula menarik perhatian pengguna media sosial baru-baru ini.
Dalam klip video itu, petugas lapangan terbang yang dipercayai sedang merakam kejadian berkenaan, dilihat menegur wanita terbabit dengan nada keras sambil mengarahkannya supaya membersihkan solekan sehingga wajahnya menyerupai gambar pada pasport.
“Lap sampai muka kamu sama macam gambar dalam pasport. Kenapa solek macam ni? Memang cari pasal,” kata suara di sebalik kamera.
Tidak dapat dipastikan sama ada wanita tersebut akhirnya berjaya melepasi pemeriksaan pengecaman wajah selepas menanggalkan solekan namun, kejadian itu mengundang pelbagai reaksi lucu dan simpati dalam kalangan netizen China.
Ada juga yang menyuarakan rasa simpati terhadap wanita tersebut kerana sudah cukup malu diperlakukan sedemikian rupa dalam khalayak ramai, malah berpendapat teguran kasar petugas lapangan terbang itu tidak wajar.
Dalam pada itu, timbul juga persoalan dalam kalangan netizen mengenai keupayaan teknologi pengecaman wajah masa kini yang sepatutnya mampu mengesan wajah walaupun disolek.
Insiden ini mengingatkan kepada kejadian sebelum ini apabila beberapa wanita China gagal memasuki negara sendiri selepas pulang dari Korea Selatan akibat perubahan drastik wajah mereka hasil pembedahan plastik, sehingga gagal dikenal pasti oleh sistem pengecaman wajah di lapangan terbang.
Kejadian tersebut sekali lagi mencetuskan perdebatan berkenaan had teknologi keselamatan moden dan cabaran realiti sosial yang datang bersamanya.


































