Dr. Joachim (barisan depan, tengah) merakamkan gambar kenangan dengan Ahli Lembaga Bandaran Kudat sesi 2025-2027 serta tetamu kehormat yang hadir dalam majlis itu.
KUDAT: Semua Ahli Lembaga Bandaran Kudat (LBK) yang baharu dilantik diingatkan agar menjadikan prinsip tadbir urus yang baik sebagai panduan utama dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, prinsip tadbir urus baik adalah tunjang kepada budaya kerja cemerlang yang harus diterapkan dalam semua lapisan pentadbiran kerajaan tempatan.
“Budaya kerja yang ada perlulah berasaskan kepada prinsip tadbir urus yang baik, iaitu akauntabiliti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, ketelusan dalam menyampaikan serta memproses perkara yang melibatkan keputusan, dan sikap profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan.
“Prinsip-prinsip inilah yang seharusnya menjadi pegangan utama kepada semua ahli lembaga,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Lembaga Bandaran Kudat bagi sesi 2025 hingga 2027 di Grand Ballroom, Kelab Golf & Marina Resort Kudat, di sini, hari ini.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Lembaga Bandaran Kudat sesi 2025-2027, Dato Shawn Davey Robert Lee.
Seramai 18 Ahli Lembaga menerima watikah pelantikan pada majlis tersebut.
Dr. Joachim menegaskan, ahli lembaga berperanan sebagai penghubung antara Kerajaan, khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dengan masyarakat, sekali gus bertanggungjawab membawa suara rakyat dalam merancang dasar serta menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan.

Dr. Joachim (dua dari kanan) menerima cendera mata daripada Charles William sambil disaksikan oleh Dr. Jamili (kanan) dan Harun.
Menurut beliau, pelantikan ahli lembaga bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi juga satu amanah besar yang menuntut integriti, kejujuran dan kecekapan dalam membantu pihak LBK melaksanakan fungsinya secara menyeluruh dan menyantuni keperluan penduduk setempat.
“Saya juga ingin mengingatkan agar setiap tindakan, pendirian dan keputusan yang diambil mestilah berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik demi menjaga kepentingan rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada LBK atas kejayaan menerima Anugerah Kecemerlangan Khas PBT Tahun 2024 serta Anugerah Kecemerlangan Pegawai Eksekutif Tahun 2024, Harun Ariffin pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Kementerian pada 9 Mei lalu.
Dr. Joachim berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen tinggi LBK dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di Kudat, sekali gus menjadi contoh kepada PBT lain di negeri ini.
Beliau berharap semua ahli lembaga yang dilantik dapat berganding bahu untuk membawa pembaharuan yang kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran pentadbiran tempatan masa kini, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan Malaysia Madani.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki; ADUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jamili Nais; Pesuruhjaya Lembaga Bandaran Kudat, Charles William Dabbi; Penolong Pegawai Daerah Kecil Banggi, Jaslee Jaafar; Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin dan Ketua Polis Kudat, Superintenden Haris Ibrahim.