KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025 bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan utama sepanjang musim perayaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, SHMMP Pesta Kaamatan akan berkuat kuasa dari 27 Mei hingga 2 Jun 2025, manakala SHMMP Hari Gawai akan dilaksanakan dari 29 Mei hingga 4 Jun 2025, masing-masing selama tujuh hari.
“Tempoh pelaksanaan skim ini mengambil kira kepentingan pengguna dan komuniti peniaga – pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga tidak dibebani pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 10 jenis barangan disenaraikan di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2025 berbanding hanya lapan pada tahun lalu, dengan dua tambahan baharu iaitu bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.
Sementara itu, bagi SHMMP Hari Gawai 2025, 11 jenis barangan tersenarai berbanding lapan pada 2024. Tiga barangan baharu ialah kelapa biji, kelapa parut dan santan.
Senarai barangan harga terkawal bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2025 ialah:
Babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja)
Daging babi (daging dan lemak)
Daging babi (perut)
Daging kerbau import (India) (tidak termasuk bahagian batang pinang)
Kepak ayam
Cili kering keriting
Bawang merah kecil (India)
Bawang putih (China)
Bawang kuning besar import
Bawang merah besar import
Bagi SHMMP Hari Gawai 2025, barangan harga terkawal merangkumi:
Babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja)
Daging babi (daging dan lemak)
Daging babi (perut)
Ayam tua hidup
Kepak ayam
Kubis bulat import (Indonesia dan China) (tidak termasuk kubis Beijing)
Bawang putih (China)
Cili kering keriting
Kelapa biji
Kelapa parut
Santan
Penentuan harga maksimum ini dibuat hasil rundingan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi berkaitan, termasuk mengambil kira pandangan pemain industri.
Skim ini akan dikuatkuasakan mengikut peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]. Harga maksimum boleh disemak menerusi laman web rasmi KPDN.
Armizan berkata, pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan skim oleh peniaga.
“Pendekatan penguatkuasaan berhemah turut dilaksanakan dengan memberi nasihat, pendidikan dan amaran kepada peniaga agar mereka mematuhi undang-undang serta mengamalkan etika perniagaan yang baik,” katanya.
Beliau menegaskan, peniaga diwajibkan menggunakan label harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal. Kegagalan mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta 723.
Antara penalti yang boleh dikenakan ialah:
i. Menjual barangan melebihi harga maksimum:
Individu: Denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya; atau kompaun sehingga RM50,000.
Syarikat: Denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
ii. Gagal mempamerkan tanda harga merah jambu:
Individu: Denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000.
Syarikat: Denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.
Armizan berkata, KPDN bersama KPKM dan pemain industri akan memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh SHMMP. Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian turut ditubuhkan untuk melaksanakan tindakan intervensi bagi mengatasi isu berkaitan harga dan bekalan.
Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan pelbagai program kos sara hidup di bawah inisiatif Payung Rahmah seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
“Kerajaan komited memastikan rakyat menikmati barangan keperluan asas pada harga berpatutan tanpa membebankan peniaga, terutama menjelang musim perayaan ini,” kata Armizan.


































