WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth menerima sebuah pesawat Boeing 747 yang disumbangkan oleh kerajaan Qatar untuk digunakan oleh Presiden Donald Trump sebagai Air Force One, menurut kenyataan Pentagon pada Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Pentagon, Sean Parnell memaklumkan pihaknya akan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil terhadap pesawat tersebut sebelum ia digunakan oleh presiden.
Katanya, penerimaan pesawat itu dibuat mengikut semua peraturan dan undang-undang persekutuan yang berkaitan.
Pemberian itu dikatakan dibangkitkan semasa lawatan terbaru Trump ke Timur Tengah.
“Mengapa tentera kita dan secara tidak langsung pembayar cukai kita perlu membayar ratusan juta dolar jika kita boleh mendapatkannya secara percuma?” kata Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social semasa lawatannya itu.
Bagaimanapun, tindakan tersebut menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan ia melanggar Perlembagaan AS yang melarang penerimaan hadiah daripada negara asing oleh pegawai tertinggi kerajaan.
Pengkritik juga menegaskan pesawat itu masih perlu diubah suai mengikut spesifikasi keselamatan presiden yang bakal menelan belanja besar serta memakan masa.
Trump tidak mengemukakan sebarang alasan keselamatan negara yang mendesak bagi mempercepatkan penggunaan pesawat tersebut sebaliknya menolak keperluan menunggu sehingga Boeing menyiapkan dua unit Air Force One baharu yang sedang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.






























