Jotdan Jude Ellron
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) menyelar Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, berhubung kenyataannya bahawa Sabah tidak stabil dari segi politik dan mundur ekonomi sebelum tahun 1994.
Menurut StarSabah, kenyataan itu bukan sahaja tidak tepat malah berbahaya kerana cuba menulis semula sejarah Sabah demi mempertahankan penguasaan politik oleh kerajaan Persekutuan.
“Adalah memalukan untuk menyalahkan ketidakstabilan Sabah kepada perpecahan dalaman. Punca sebenar pembangunan Sabah yang perlahan ialah campur tangan Persekutuan, penafian terhadap hak-hak kami di bawah Perjanjian Malaysia 1963 serta pengkhianatan politik pada tahun 1994,” kata Ketua Exco Wiramuda StarSabah, Jordan Jude Ellron dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada Pilihan Raya Negeri 1994 di mana Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi mandat rakyat namun digulingkan melalui siri lompat parti yang didakwa dirancang dan dikaitkan dengan Umno.
“Mengatakan Sabah hanya mula membangun selepas kemasukan Umno adalah satu penghinaan kepada generasi rakyat Sabah yang membina negeri ini dalam keadaan sukar, tanpa layanan adil atau agihan hasil yang saksama,” katanya.
Jordan turut menekankan bahawa walaupun Sabah telah menjadi sebahagian daripada Malaysia lebih 60 tahun, negeri ini masih tergolong antara yang termiskin di negara ini — satu hakikat memalukan yang menurutnya berpunca daripada dasar-dasar yang digubal di Putrajaya, bukan di Kota Kinabalu.
“Inilah sebabnya slogan ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ lahir. Ia bukan retorik kosong. Ia adalah satu gerakan — satu tindak balas terhadap puluhan tahun pengabaian. Ia adalah seruan untuk mengembalikan maruah dan membentuk masa depan yang diterajui oleh anak-anak Sabah sendiri,” katanya.
Beliau berkata Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, telah lama memperjuangkan agenda ini, yang kini telah berkembang menjadi satu gerakan lebih besar melibatkan pelbagai parti tempatan.
Malah, katanya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menuduh Dr Jeffrey sebagai punca kepada sentimen ini — sesuatu yang menurut Jordan membuktikan pengaruhnya semakin meluas.
“Kami sebagai ahli StarSabah melihat tuduhan itu sebagai satu kebanggaan. Jika mempertahankan hak Sabah menjadikan kami bersalah, maka kami bangga menjadi bersalah,” katanya.
Jordan menolak sebarang cubaan untuk menggambarkan parti-parti berpusat di Semenanjung sebagai penyelesaian kepada masalah Sabah, sama ada UMNO, PKR, Bersatu atau DAP.
“Pengalaman mengajar kita bahawa hasilnya tetap sama — Sabah hanya digunakan dan kemudian diketepikan. Penyelesaian sebenar adalah kepimpinan tempatan. Sabah mesti diterajui oleh anak Sabah sendiri. Titik,” tegasnya.
Tambah beliau, perpaduan sebenar tidak terbina dengan tunduk kepada kuasa luar, sebaliknya tercapai apabila rakyat Sabah bersatu — tanpa mengira parti — untuk menuntut hak mereka: 40 peratus hasil negeri, autonomi sebenar dan kuasa menentukan masa depan sendiri.
“Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pemimpin yang berkongsi misi ini. Tetapi kami tidak akan berdiam diri terhadap mereka yang menghina sejarah kami atau memperkecilkan hak kami untuk menentukan takdir sendiri,” katanya.
“Sabah bukan negeri yang gagal. Sabah telah dikhianati. Dan kami tidak akan benarkan ia berlaku sekali lagi.
“Rumah kita, kita jaga. Kami bukan anak tiri. Kami anak jati negeri ini. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?” tambahnya.


































