Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akan melancarkan siasatan besar-besaran terhadap pesaingnya, Kamala Harris, berhubung kempen Pilihan Raya 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Trump mendakwa, bekas Timbalan Presiden Demokrat itu membayar selebriti untuk meraih sokongan dalam kempennya yang gagal ke Rumah Putih.
“Calon tidak dibenarkan membayar untuk sokongan (endorsement), tetapi itulah yang dilakukan Kamala, dengan berselindung bagi bayaran hiburan.
“Saya menuntut siasatan besar-besaran terhadap perkara ini,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
Trump turut menuduh Harris membayar lagenda rock itu untuk membuat persembahan di perhimpunan di Georgia beberapa minggu sebelum pilihan raya.
“Berapa banyak Kamala Harris membayar Bruce Springsteen untuk persembahan hambar semasa kempen presiden beliau?
“Mengapa dia terima bayaran jika benar-benar peminat Harris,” tulis Trump.
Sebelum ini, Harris berusaha mendapatkan sokongan selebrti terkenal seperti Beyonce dan Oprah Winfrey dalam perlumbaan pilihan raya tersebut.
Winfrey mempertahankan bayaran sebanyak AS$1 juta (RM4.29 juta) kepada syarikat produksinya daripada kempen Harris untuk menampung kos rancangan bual bicara bersama calon presiden berkenaan.
Sementara itu, pasukan Harris menafikan dakwaan mereka membayar bintang pop terkenal, Beyonce, sebanyak AS$10 juta (RM42.9 juta) untuk menghadiri perhimpunan.
Dalam laporan kewangannya, kempen Harris hanya menyenaraikan satu perbelanjaan berkaitan sokongan bernilai AS$75 (RM321.9) kepada sebuah kumpulan advokasi alam sekitar.
Trump, yang memperoleh kemenangan selesa, tidak banyak menerima sokongan daripada industri hiburan secara umum, namun berjaya menarik perhatian sebilangan kecil personaliti berpengaruh, termasuk hos podcast, Joe Rogan.






























