JAKARTA: Perjuangan Shabrina Leanor di pentas pertandingan Indonesian Idol 2025 ternyata tidak sia-sia apabila dia diangkat sebagai pemenang pada musim kali ini.
Menurut Utusan Malaysia, kemenangan tersebut menyaksikan Shabrina membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta berjenama Mitsubishi XForce dan wang tunai Rp 150 juta (RM39,121,00).
Mengulas mengenai kemenangannya, kata Shabrina, dia bersyukur kerana perjuangannya di pentas itu berbaloi.
“Pastinya bersyukur, bahagia, itu sesuatu yang di luar jangkaan. Saya tidak mampu mengungkapkannya dengan kata-kata.
“Saya rasa seperti telah diterima di dalam keluarga besar Indonesian Idol.
“Semua turun naik ini seakan telah dibayar lunas. Terus terang saya dan Fajar tak pernah terfikir siapa yang juara. Buat saya, semua Top 14 bahkan Top 23 adalah juara,” katanya.
Tambah Shabrina, kemenangannya itu turut didedikasikan kepada ibu tercintanya.
“Kemenangan ini juga saya tujukan untuk ibuku di syurga. Kerana, waktu saya memasuki Idol, dari tahap pemilihan, ibu masih ada.
“Tapi saat masa kuarantin berlangsung, ibu berpulang,” katanya.
Kemenangan Shabrina itu sekali gus menyaksikan Fajar Noor terpaksa reda berada di kedudukan kedua dan membawa pulang wang tunai berjumlah RP 100 juta (RM26,109,00) termasuk sebuah kereta.
Shabrina pada malam final telah membawakan lagu berjudul ‘Bawalah Cintaku’ nyanyian asal Afgan manakala Fajar Noor membawakan lagu ‘Lenggang Puspita.
Untuk lagu solo, Shabrina membawakan lagu berjudul Kerana Ku Sanggup manakala Fajar pula membawakan lagu berjudul Hampa.
Selain berduet dengan Afgan, malam Result and Reunion turut diserikan dengan persembahan luar biasa lain daripada kumpulan Lomba Sihir sehingga para alumnus Indonesian Idol.
Turut tampil sama ialah penyanyi Marion Jola dan Nyoman Paul.